Tuesday, December 27, 2016

Jauh Dekat Bulan Dan Bumi



Banyak sudah dicerita tentang Sang Purnama
Dipuji keindahan cahayanya
Pantulan dari terik Mentari
Menerangi malam tanpa henti

Si Bulan yang jauh dirindu
Si Bulan yang jauh dipuja
Si Bulan yang jauh terus ditunggu
Si Bulan yang jauh tiada celanya

Yang jauh...
Tetap disayang walau dalam kesamaran
Yang jauh...
Pengabdian yang tak kesampaian

Dengan mudah mencintai...
Sesuatu yang kurang pasti
Kerana ada unsur misteri
Lalu ditipu tanpa disedari

Indahnya Bulan kerana jarak yang memisah
Lazim, yang mustahil itu yang sering digilai
Walhal, Bulan, seadanya, cuma batu besar di angkasa
Yang tidak mampu sinar kalau bukan kerana Matahari

Sang Pencinta pun sampai dipermukaannya
Lalu Dia sedikit hampa atas apa yang ditemui
Ternyata yang diagungkan selama ini cuma biasa-biasa saja
Dan lantas Dia berpaling melihat Bumi...

Terpukau Sang Pencinta...
Melihat Bumi yang berwarna-warni
Lalu berbisiklah Dia...
"Itukah Bumi? Indah sungguh bila dilihat dari sini..."

Dan Bumi sudah tentu lebih indah dari Bulan
Kerana Bumi menampung kehidupan
Sedangkan Bulan tidak punya apa-apa
Tidak mampu membawa harapan atau menghapus derita

Namun, Bulan akan terus dipuji
Terus dicintai...
Terus dinanti...
Terus dikasihi...

Kerana Sang Pencinta masih mahu terus bermimpi
Tanpa perlu berjaga lagi...

=KalamSiLara=
21 January 2011