Aku tak mahu tidur...
Kerana kau tak akan hadir dalam mimpi
Hati ini telah meminta, buat seketika, berhenti merindu
Diajak rehat, dijemput beradu, agar gundah meninggalkan diri
Mungkin seksa rindu sudah terlalu perit ditanggung kalbu
Lena menggoda menghapus duka
"Marilah tidur, dibuai mimpi, hilang sengsara...
Bukan sengaja nak kasi lupa
Tapi batinmu perlu dipulih dek luka merana"
Terus dipujuk, tak berputus asa
"Bukan untuk selama-lamanya, sekejap saja...
Sementara kau ditinggalkan si dia
Berilah peluang yang lain melayani kau pula"
Aku tak mahu tidur...
Biarpun aku sungguh perlu tidur
Dan lena boleh mendatangkan kepuasan
Bila kau berada jauh dari pandangan...
Tapi aku bersumpah, demi Tuhan!
Aku tak sanggup membayangkan
Suatu apa pun selain kau...
Untuk menemani aku di alam antara khayalan
Jadi, aku tak mahu tidur...
=KalamSilara=
20 May 2011